Diskaun 50% Untuk Semua Pemegang MyKad

LANGKAWI, Khamis - Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi), pengendali perkhidmatan kereta kabel di Langkawi, mengumumkan tawaran diskaun 50 peratus sepanjang hari kepada pengunjung rakyat Malaysia yang mengemukakan MyKad mulai 8 September ini.

Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi, Ebi Azly Abdullah, berkata ketika ini pengunjung ke perkhidmatan kereta kabel dikenakan harga tiket RM30 untuk dewasa, dan RM20 untuk kanak-kanak, dengan sebelum ini diskaun Happy Hour sebanyak 50 peratus diperkenalkan kepada rakyat Malaysia selepas jam 5 petang setiap hari. 

"Kami menerima sambutan menggalakkan terhadap promosi Happy Hour, yang bermula Mei lalu. Promosi sepanjang hari yang diperkenalkan ini sudah tentunya akan menggalakkan lebih ramai pelancong tempatan untuk melawat Panorama Langkawi selaras dengan kempen pelancongan domestik negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambang rasmi pengunjung ke kereta kabel Panorama Langkawi, destinasi pelancongan utama di Pulau Langkawi, ialah sebanyak RM30. 

Ebi berkata, beberapa promosi dan produk baru juga bakal diperkenalkan oleh Panorama Langkawi dalam usaha untuk menjadikan kawasan berkenaan sebagai salah satu destinasi pelancongan eko bertaraf dunia. 

Antara produk menarik yang ditawarkan oleh Panorama Langkawi termasuk perkhidmatan SkyCab (dahulunya dikenali sebagai Langkawi Cable Car) yang juga perkhidmatan kereta kabel yang unik di rantau ini, serta SkyBridge iaitu jambatan gantung yang menghubungkan dua puncak banjaran kecil Gunung Matchinchang itu.

Panorama Langkawi telah mencatatkan jumlah pengunjung sebanyak 680,000 pada tahun lepas dan mensasarkan peningkatan jumlah pengunjung yang melawat kereta kabel sebanyak 18 peratus pada tahun ini.

Panorama Langkawi adalah salah satu daripada syarikat milik penuh Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana), yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan. Panorama Langkawi telah melaksanakan program penjenamaan (rebranding) pada 13 April 2011 yang menyaksikan pelaksanaan nama syarikat yang baru juga turut memenangi beberapa pengiktirafan antarabangsa dan tempatan termasuk anugerah Destinasi Pelancongan Cemerlang 2010.

 

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkara di atas sila hubungi :
Nurul Zuwaibah Ahmad, 019-4000898

News Date: 
7 Sep 2011