LETUPAN GEGAR PANORAMA LANGKAWI

Panorama Langkawi Sdn Bhd (Panorama Langkawi), pengendali kereta kabel Langkawi hari ini digegarkan dengan letupan di Platform Kawalan mengakibatkan berlaku kebakaran.  Impaknya menyebabkan sistem kereta kabel terhenti di antara Menara 1 dan Menara 2.  Serentak dengan itu, berlaku litar pintas di Kaunter Tiket mengakibatkan asap tebal. Senario ini adalah detik-detik cemas yang diharungi oleh kakitangan dan pengunjung Panorama Langkawi dalam Latihan Mencari dan Menyelamat (Search and Rescue Exercise/SAREX) yang diadakan pagi ini.

Disokong oleh pasukan SMART, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi, Polis DiRaja Malaysia Kontinjen Kedah, Polis DiRaja Malaysia Langkawi, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Hospital Langkawi, Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Selayang, GTC Global dan Sapura, latihan ini dilaksanakan di bawah pengawasan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Putrajaya. 

Kejadian berkenaan adalah program Latihan Mencari dan Menyelamat yang diadakan oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) dan Panorama Langkawi dengan penglibatan kira-kira 245 petugas termasuk kakitangan yang memainkan peranan sebagai pelaku-pelaku.

Menurut Ketua Pegawai Operasi, Panorama Langkawi Ebi Azly Abdullah, tujuan latihan ini diadakan adalah untuk memastikan tahap kesediaan dan kompeten kakitangan serta menguji koordinasi antara Panorama Langkawi dengan  agensi-agensi penyelamat yang terlibat dalam pengurusan krisis dan bencana.

“Latihan ini juga adalah untuk mewar-warkan kepada orang ramai khususnya pengunjung asing bahawa kereta kabel kendalian Panorama Langkawi adalah selamat.  Kami tidak berkompromi dalam hal-hal keselamatan, yang menjadi keutamaan kami,” kata Ebi.

Latihan Mencari dan Menyelamat ini adalah kedua seumpamanya selepas tahun 2009.  Latihan ini adalah yang terbesar kerana ia turut membabitkan pihak MKN Putrajaya dan Pasukan SMART Putrajaya serta berdasarkan protokol yang terkandung di dalam “Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20”.

Senario yang bermula dengan letupan hingga menyebabkan kebakaran dan kegagalan kereta kabel beroperasi.  Dua orang kakitangan di Platform Kawalan cedera parah, empat orang kakitangan di Kaunter Tiket cedera dan lima orang pengunjung mengalami kesukaran bernafas.  Sementara itu, tujuh orang pengunjung termasuk satu ‘dummy’ terperangkap di dalam dua SkyCab atau gondola yang tidak bergerak di antara Menara 1 dan Menara 2.

Kesemua ‘mangsa’ yang cedera telah diselamatkan oleh anggota SMART dan Bomba serta dibawa ke khemah perubatan yang disediakan dan Hospital Langkawi untuk rawatan.   

Ebi berkata segala pengalaman dan pembelajaran daripada latihan ini akan dinilai dan dibaiki bagi memantapkan operasi Panorama Langkawi di masa akan datang.  Beliau turut merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam latihan ini khususnya MKN Putrajaya.

News Date: 
1 Feb 2012